Assalamualaikum w.b.t. korang,
Selesai solat Asar tadi, saya terfikir, dalam usaha saya mencari kekayaan ni, bila rasanya saya akan cakap ‘Ini dah cukup untuk aku’. Saya just randomly terfikir pasal benda ni walaupun sebenarnya saya dah ada pon jawapan pada persoalan saya ni.
Sebelum saya cerita jawapan saya, saya nak cerita sikit pasal satu kisah yang saya pernah dengar dalam satu podcast di youtube . Tajuknya adalah sama dengan tajuk post ni, cuma dalam English ‘When is enough?’.
Ada seorang nelayan. Sekali-sekala je dia turun ke laut untuk mencari ikan sebagai punca pendapatannya. Pada satu hari, nelayan ni didatangi seorang usahawan. Usahawan itu berkata pada nelayan ‘Marilah bekerja di bandar’. Nelayan itu bertanya ‘Untuk apa saya bekerja di bandar?’. Usahawan itu menjawab ‘Kerja di bandar lebih bagus dan pendapatannya lebih’. Nelayan itu bertanya ‘Selepas itu apa?’. Usahawan itu menjawab 'Anda boleh dapat duit yang banyak’. Nelayan itu bertanya lagi ‘Selepas itu, apa lagi?’. Usahawan itu jawab ‘Anda akan jadi kaya dan boleh bersara dengan tenang’. Nelayan itu tanya lagi ‘Selepas itu lagi apa?’. ‘Selepas itu lagi, anda boleh balik ke kampung dan kerja bila anda hendak je’ jawab Usahawan tu. Nelayan tu pandang Usahawan tu, lalu senyum. (Nelayan tu sudah pon duduk di kampung dan keluar bekerja apabila dia hendak sahaja).
Korang faham tak cerita ni nak sampaikan mesej apa? Ia nak menceritakan bahawa ‘cukup’ seseorang ada di semua peringkat kekayaan. Nelayan tu takde lah kaya tapi dia dah pon ada gaya hidup seakan-akan orang yang sudah bersara. Cerita ni nak menceritakan tentang keadaan ‘cukup’ seseorang tapi saya rasa ia agak oversimplified dan banyak benda kena ditanya dulu. Kenapa? Sebab hidup dan keadaan setiap orang dipengaruhi oleh bermacam-macam faktor. Disebabkan faktor-faktor ni, keadaan ‘cukup’ setiap orang mungkin berbeza-beza. Dalam kes nelayan tadi, kita kena tanya dia beberapa soalan.
Ada tanggungan atau tak?
Kalau hari hujan, macam mana nak cari makan?
Ada matlamat tak? (I.e. Pergi Haji, Umrah)
Kalau harga barang naik nak buat camne? Boleh tampung ke?
Kalau sakit, nak pergi kerja jugak ke?
Nampak kan kenapa cerita nelayan tu agak oversimplified. Ada orang kata pada saya ‘Cukuplah apa yang dah ada sekarang ni’. Ya, untuk hidup pada waktu sekarang ni memang cukup. Kalau saya boleh jamin takkan ada benda berubah dalam hidup saya masa akan datang nanti, then ya, apa yang saya ada sekarang ni memang dah cukup dah. Ada kerja yang stabil, gaji yang dapat tampung tempat tinggal, makan minum, bagi mak ayah dan macam-macam lagi keperluan hidup. Tapi keadaan kita tak mungkin akan sama di masa depan. Seperti satu pepatah orang putih ‘The only constant is change’. Maksudnya, satu-satunya benda yang takkan berubah adalah perubahan sentiasa akan berlaku.
Jadi, apa pendapat saya tentang ‘cukup’? Bila saya akan cakap ‘cukup’?
Pada pendapat saya, untuk manusia seperti saya dan korang, ‘cukup’ itu datang dengan ‘jaminan.
Saya tahu saya dah cukup, kalau saya jamin:
Saya masih boleh teruskan kehidupan kalau saya diberhentikan bekerja.
Saya masih boleh bagi keluarga saya tempat tinggal, makan dan minum, kalau apa-apa yang tidak diingini jadi (macam COVID)
Bila saya sakit, tanggungan saya tidak terbeban dengan masalah kewangan saya.
Bila saya dah tua, saya tak perlu harapkan ihsan anak-anak atau ahli keluarga lain untuk teruskan hidup.
Saya dah capai matlamat kewangan saya.
Melainkan saya dapat jaminan ni, saya rasa saya masih perlu berusaha untuk ubah keadaan kewangan saya. Dan disebabkan perkara-perkara tidak diingini boleh berlaku tiba-tiba sahaja dalam hidup, saya tak rasa selesa untuk tunggu dah tua dan nak bersara baru nak fikir untuk buat perubahan pada keadaan kewangan saya.
Definisi ‘cukup’ untuk saya bukanlah dapat beli kereta mewah, duduk rumah besar ataupon ada berjuta-juta ringgit dalam tangan.
Definisi ‘cukup’ saya adalah saya jamin saya boleh tampung diri saya dan keluarga saya dalam apa jua keadaan di masa akan datang, baik atau buruk, disamping matlamat saya untuk menjadi bebas kewangan dah pon tercapai.
Saya faham, definisi ‘cukup’ untuk setiap orang, berbeza-beza. Sebab tu, apa yang saya tulis dalam artikel saya kali ni, hanya lah perkongsian prinsip dan pendapat saya sendiri dan bukanlah desakan kepada korang untuk ikut.
Saya juga faham, definisi ‘cukup’ saya mungkin akan berubah mengikut keadaan saya dari masa ke semasa.
Tapi untuk buat masa sekarang, itulah yang saya definisikan sebagai ‘cukup’ untuk saya.
Disclaimer,
Saya bukanlah seorang penasihat kewangan berlesen. Apa sahaja yang saya cerita dalam posting saya adalah perkongsian semata-mata dan bukan untuk diikuti. Do your own research. Korang tentukan sendiri apa yang korang nak buat dengan duit korang. Saya tak bertanggungjawab atas kerugian daripada mana-mana pelaburan yang korang sertai.